Ahad, 3 Februari 2008

SIRI WASIAT LUQMAN AL-HAKIM

SIAPA LUQMAN AL-HAKIM
LUQMAN A-HAKIM adalah seorang yang soleh. Berkat kesolehannya Allah SWT telah memberikan beberapa hikmat dan ‘faslul kitab’ kepadanya. Faslul kitab adalah cakap yang membezakan perkara perkara yang betul dengan yang batil. Allah Azzawajalla juga telah memuliakan Luqman Al-Hakim dengan makrifat, ilmu dan penilaian yang sahih.

Untuk berkenalan dengan Luqman Al-Hakim ikutilah pertemuan seorang lelaki yang datang menemuinya untuk belajar dan bertanya sesuatu kepada beliau.:-
Lelaki: Maaf tuan, adakah tuan bernama Luqman?

Luqman: Ya, saya Luqman.

Lelaki: Adakah tuan seorang pengembala kambing?

Luqman: Ya, betul.

Lelaki: Mengapa tuan hitam?

Luqman: Adapun kehitaman aku ini hanyalah pada zahir saja. Adakah sesuatu yang menarik perhatianmu tentang diriku?

Lelaki:Ramai benar manusia yang duduk bersama tuan, senangnya mereka masuk keluar rumah tuan dan mereka juga merasa senang dan reda mendengar ucapan tuan.

Luqman: Wahai anak saudaraku, jika engkau mahu mendengar dan melaksanakan apa yang aku katakan kepadamu, engkau juga akan menjadi seperti mereka.

Kemudian Luqman Al-Hakim meneruskan bicara: Aku menundukkan pandanganku, aku memelihara lidahkum aku menjaga makananku, aku bercakap hanya yang benar, aku memenuhi janjiku,aku memuliakan tetamuku, aku mengambil berat tentang jiranku, aku meninggalkan perkara yang tidak penting bagiku. Itulah yang menjadikan aku seprti yang engkau lihat.

Luqman juga memberikan hikmat dan ilmu kepada anak-anaknya untuk menerangi jalan hidup mereka serta membimbing mereka menjalani kehidupan yang benar lagi lurus. Inilah kewajipan seorang bapa kepada anak-anaknya. Dengan segala pengajaran dan pendidikan itu, anak-anak akan menjadi orang yang baik dan menjadi penolong dan meneruskan perjuangannya.

Oleh itu kita ikutilah wasiat Luqman Al-Hakim kepada anak-anaknya, diharapkan segala wasiat itu bakal menjadi penyuluh dalam perjalanan hidup kita agar kita menjadi insan yang berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat.