Wednesday, July 22, 2009

Rahsia Solat
SOLAT adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam setiap hari. Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan Rasulullah s.a.w, dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya dengan penuh takwa.Orang yang mendirikan solat adalah orang yang beriman. Orang yang beriman mesti mendirikan solat. "Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan solat." (Ibrahim:31)


Dalam al-Quran, ada lebih 25 tempat ayat "aqama" yang merujuk kepada makna perintah mendirikan solat dan lebih 70 kali perkataan "as-solah" atau solat diulang dan disebut dalam al-Quran.Antaranya, firman yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. "Kemudian apabila kamu telah berasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (an-Nisa':103)



Setiap individu Muslim dan Muslimah mesti mengerjakan solat. Malah, bagi ketua keluarga seharusnya memerintahkan ahli keluarganya melakukan solat. Ibu bapa pula wajib mengajar dan membimbing anak melakukan ibadat itu, seawal usia tujuh tahun. Ibadat solat adalah suatu perintah daripada Tuhan kepada hamba-Nya. Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, malah mengiringi mereka yang mengerjakannya.


· Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya. "Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)


· Solat adalah tanda kesyukuran. Muslim atau Muslimah yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur sebenarnya. Mereka bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan dengan melakukan ibadat kepada-Nya.


· Ibadat solat menghapuskan dosa. Manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. Sebagaimana satu hadis bermaksud: "Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)


· Solat juga dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Ibadat solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya dari melakukan maksiat dan kemungkaran. "Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Ankabut:45)


· Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. Kita boleh lihat kehidupan orang yang memelihara solat dan orang yang tidak mengerjakan solat, jauh berbeza bukan!"Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (al-Mukminun: 1-2)


· Solat dapat mententeramkan jiwa. Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekali gus menjadikan kehidupannya lebih ceria. Seorang yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya serta memahami kelebihan dan rahsia bacaannya, sudah tentu akan tenang jiwanya. "Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij:19-23)Rasulullah s.a.w ketika berhadapan masalah akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati. Kelebihan ini sekurang-kurangnya akan menyuntik diri kita umat Islam untuk lebih tekun mengerjakan solat, malah mereka yang selama ini tidak mengenali ibadat itu tertarik untuk turut sama melakukannya

Wednesday, February 25, 2009

WAWANCARA DENGAN DR. DANIAL ZAINAL ABIDIN
Dr. Danial Zainal Abidin adalah tokoh ilmuan islam yang amat saya hormati. Saya amat tertarik dan meminati segala pandangan yang beliau lontarkan dalam ceramah, motivasi mahupun penulisan. Saya mula-mula mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh Dr. Danial di kampung kelahiran saya dalam satu program yang dianjuran Persatuan Belia MAYC Machang Bubok disekitar tahun 1970an. Sejak itu saya tidak pernah lepas untuk mengikuti pandangan beliau. Walaupun wawancara ini telah lama dibuat oleh pihak BERITA HARIAN dan juga terdapat dalam blog Dr. Danial, namun ianya amat berguna kepada kita maka saya siarkan wawancara itu dalam blog Fikrah Muslim.


SIAPA DR. DANIAL?

Dr. Danial bin Zainal Abidin berasal daripada Kampung Manggis, Sungai Ara, Pulau Pinang. Beliau merupakan anak kedua kepada Hj. Zainal Abidin bin Hasan dan Hjh. Che Su bte Hj. Jamaluddin dan dilahirkan pada bulan 21 Julai, 1955.
Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Jelutong, Pulau Pinang. Selepas mendapat gred satu dalam peperiksaan MCE beliau memasuki tingkatan enam di Sekolah Menengah Penang Free sebelum ke Universiti Iskandariah, Mesir, untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.
Di Mesir beliau menjadi Presiden Kelab Pelajar-Pelajar Malaysia di Iskandariah pada tahun 1975. Kesempatan belajar di Mesir telah digunakannya untuk mendalami bahasa Arab dan menimba ilmu agama dari ulama yang berkaliber, antaranya, seorang ulama hadis yang terkenal, as-Syeikh Muhammad Najib Al-Muthi’i. Pada tahun 1981 beliau memperoleh ijazah M.B.Ch.B. dalam bidang perubatan.
Jawatan beliau sekarang ialah sebagai Pengarah Urusan kepada syarikat Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. Beliau juga ialah pengurus dan pengamal perubatan di Klinik Syifa, Gelugor, Pulau Pinang. Di samping itu, beliau menjadi pakar motivasi undangan di Mutiara FM, Pulau Pinang, mengendalikan slot Motivasi Mutiara dan Islam Moden. Beliau juga menyampaikan motivasi secara berkala di Perlis FM dan Perak FM.
Pengalaman beliau amat luas kerana sering kali dijemput menjadi penceramah serta pemudah cara bagi program-program di Telekom Malaysia, IKIM, Kuantan Port, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Persatuan Pekerja-Pekerja Islam TNB, KLIA dan lain-lain lagi. Pada tahun 2003 beliau menjadi penceramah khas bagi Petronas Carigali membincangkan tajuk Quality Principles di Terengganu, Sabah, Sarawak, KL dan Vietnam. Pada tahun 2004 pula beliau dijemput memberi ceramah khas kepada Kerabat di Raja Negeri Perak, EXCO Kerajaan Negeri Perak dan dif-dif jemputan bertajuk ‘Quran dan Sains’.
Di samping itu beliau juga di undang menyampaikan ceramah di luar negara, antaranya, di St. Louis, Amerika, Perth, Australia, dan Singapura.
Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan bergiat cergas dalam pertubuhan dakwah dan kebajikan. Beliau menjadi penasihat bagi Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) bermula tahun 2005. Beliau pernah menjadi Yang Di Pertua Jemaah Islah Malaysia (JIM) Pulau Pinang, dari tahun 1992-2001. Dari tahun 1996-2000 pula beliau menyandang tugas sebagai Pengerusi Kariah di Sungai Ara, Pulau Pinang.
Dalam bidang penulisan, beliau merupakan kolumnis tetap ruangan Islam dan Sains bagi Majalah-i, Karangkraf, dan Kosmik, Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku-buku yang telah beliau hasilkan setakat ini berjumlah sepuluh buah iaitu, Konsep Perubatan Islam, Islam The Misunderstood Religion, Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden, Kit Kombat Islam, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Nabi Muhammad S.A.W., Empayar Minda Muslim, 7 Formula Individu Cemerlang, Tip-tip Cemerlang Daripada Quran dan Quran Saintifik. Lima daripada buku-buku ini telah mencapai status terlaris atau bestseller di Malaysia. Buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden pula menjadi Finalis dalam Anugerah Media Islam (AMIN) bagi tahun 2006. Setakat ini empat buah buku beliau telah dilesenkan untuk pasaran di Indonesia, iaitu, Empayar Minda Muslim, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, 7 Formula Individu Cemerlang dan Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran.
Di sudut kekeluargaan, beliau mempunyai dua orang isteri. Isteri pertama beliau ialah seorang doktor perubatan dan isteri kedua beliau ialah seorang pengurus syarikat. Beliau dikurniakan dengan lapan orang cahaya mata. Anak pertama beliau memperoleh ijazah dalam bidang Bio-Teknologi, anak kedua dalam bidang Kimia Analisis, anak ketiga dalam bidang Teknologi Persekitaran dan anak keempat sedang menuntut di Fakulti Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia. Anak-anak yang lain masih bersekolah.
Bagi pengenalan lanjut mengenai Dr. Danial, kita boleh ikuti paparan berikut bagi mendekati siapa Dr. Danial.

KANDUNGAN WAWANCARA DENGAN DR. DANIAL
Syukur kepada Allah, hingga ke hari ini saya telah menulis 10 buah buku. Manuskrip buku ke 11 saya bertajuk “Minda Muslim Super” telah pun dihantar kepada pihak PTS. Seringkali saya disoal, “Bagaimana doktor mendapatkan masa untuk menulis sedangkan doktor sibuk dengan pengurusan klinik, menjadi motivator radio Mutiara FM, mengurus syarikat Danial Zainal Consultancy, berceramah, menjadi fasalitator pelbagai syarikat….. dll”. Seringkali juga saya akan menjawab, “Allah mempermudahkan bagi saya”…. Pada tanggal 17 Februari tahun 2005, Berita Harian telah memuatkan wawancara Salbiah Ani (wartawan BH bahagian Sastera) dengan saya, selepas penerbitan buku 7 Formula Individu Cemerlang. Mungkin ada baiknya saya paparkan semula isi wawancara itu. Semoga ada manfaatnya…………….


Ikuti wawancara Pengarang Sastera, Berita Harian, SALBIAH ANI (BH), dengan Dr. Danial bin Zainal Abidin (DD):

BH: MENGAPAKAH Dr Danial memilih menulis buku yang sama sekali berbeza daripada bidang pengkhususan iaitu perubatan moden?
DD: Sebenarnya ada sebuah buku saya menjurus kepada topik perubatan moden iaitu ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’ dan kini memasuki edisi ke-2. Saya akui sebahagian buku saya yang lain tidak memfokuskan aspek perubatan moden. Bagi saya Islam adalah agama yang lengkap lagi komprehensif dan tidak hanya memperkatakan perubatan semata-mata. Justeru saya perlu memperkenalkan Islam yang lengkap kepada masyarakat. Tambahan pada masa ini masyarakat secara amnya sedang ditimpa pelbagai penyakit berkaitan kerohanian, cara fikir, sikap dan cara hidup. Formula Islam yang lengkap perlu diketengahkan untuk merawat penyakit ini.

BH: Apakah perkara yang menggerakkan Dr Danial dalam bidang penulisan?
DD: Saya terangsang dengan firman Allah swt dalam surah Ali Imran, ayat 110 bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”. Ayat ini menuntut umat Islam agar menjadi satu umat yang proaktif dan bukannya pasif. Mereka disuruh bergerak dan berperanan terutamanya dalam konteks mengajak manusia kepada makruf dan mencegah kemungkaran tanpa melupakan iman diri sendiri. Penulisan antara medan yang baik untuk menyebarkan konsep ini. Apabila kita menulis kita sedang memelihara ilmu dan sejarah. Tanpa penulisan, ilmu dan sejarah akan hilang. Pada hari ini kita mengenali pemikiran Ibn Khaldun, Ibn Sina, Imam Al-Ghazali, An-Nawawi dan ramai lagi kerana penulisan mereka dan khazanah ini perlu dikembangkan.

BH: Bagaimanakah Dr Danial ‘mencuri’ masa untuk menulis di sebalik jadual kerja sebagai doktor perubatan, pakar runding dan pengelola slot Rangsang Minda dan Islam Moden di Radio Malaysia Pulau Pinang?
DD: Allah mempermudahkan ini bagi saya. Sebenarnya saya kerdil berbanding pencapaian tokoh Islam pada abad ke-9 seperti Al-Kindi. Beliau berjaya menghasilkan 250 buku bidang astronomi, matematik, fizik, geometri, perubatan, psikologi dan mantik. Bagaimanapun saya mengakui pengurusan masa penting dalam kehidupan. Antara taktik pengurusan masa yang saya gunakan ialah meletakkan matlamat serta merancang. Saya mewajibkan diri untuk berdisiplin demi mengejar matlamat itu. Saya juga belajar untuk berkata ‘tidak boleh’ pada ajakan serta jemputan yang tidak penting.

BH: Apakah hasrat Dr Danial apabila mengepilkan petikan kata-kata Yusuf Islam (Cat Stevens): ‘Budaya dan nilai hidup Barat adalah seperti sebuah kapal yangsedang tenggelam dan umat Islam sedang berebut-rebut membeli tiket untukmenaikinya’ dalam buku terbabit?
DD: Kata-kata Yusuf Islam ini bagi saya begitu bermakna kerana ia dilafazkan oleh seorang yang dilahirkan dan dibesarkan di Barat. Beliau sedar cara hidup Barat adalah seperti kapal yang sedang tenggelam atau fatamorgana yang memperdayakan. Justeru beliau memilih Islam sebagai cara hidup. Hanya orang yang ada ketajaman mata hati yang mampu membuat pendirian seperti itu. Cara hidup Islam mementingkan takwa dan ilmu. Cara hidup Barat mementingkan material serta nafsu.

BH: Mengapakah Dr Danial memilih untuk membongkar rahsia kejayaan dan kecemerlangan individu sejak beribu tahun dulu dengan menggunakan al-Quran sebagai landasan perbincangan dalam ‘7 Formula Individu Cemerlang’?
DD: Al-Quran ialah kitab Allah yang Maha Agung dan boleh dikiaskan seperti satu peta yang lengkap. Untuk memahami kehebatannya, kitab ini perlu dihidupkan secara praktikal. Apabila manusia menghidupkannya, mereka akan menjadi golongan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Golongan yang berjaya menghidupkannya ialah sahabat dan umat Islam pada peringkat awal terdahulu. Kesan daripada penghidupan itu mereka berjaya membina satu tamadun gilang gemilang. Tamadun ini berjaya mengeluarkan Barat dari Zaman Kegelapan. Umat Islam pada hari ini sedang berada di tahap yang paling hina. Justeru di dalam buku ‘7 Formula Individu Cemerlang’ saya menjadikan umat Islam terdahulu sebagai contoh kerana mereka berjaya menjadi pemangkin kepada perubahan yang mengagumkan dan kejayaan itu berlaku dirangsang oleh Al-Quran.


BH: Mengapakah Dr Danial mengatakan ‘7 Formula Individu Cemerlang’ ditulis untuk mereka yang tidak mahu menjadi seperti dinosour yang pupus semasa dunia berubah?
DD: Memang benar di muka depan buku ini saya mengatakan perkara yang disebutkan ini. Dinosaur adalah satu makhluk yang besar dan pernah bermaharaja di dunia. Apabila perubahan berlaku di dunia disebabkan komet berlanggar dengan bumi, dinosaur tidak mampu menangani perubahan itu. Akhirnya mereka mati dan pupus. Jumlah umat Islam pada hari ini melebihi 1 bilion. Perubahan pula sedang berlaku dengan pesat. Malangnya ramai umat Islam yang leka dan tidak peka mengenai perkara ini. Mereka yang berminat dengan Islam pula asyik berbicara dan bertengkar mengenai perkara ranting dan remeh. Fanatik sempit wujud di mana-mana: fanatik mazhab, fanatik kelompok dan fanatik ideologi. Akhirnya kerja penting seperti dakwah kepada bukan Islam, penyelidikan dalam bidang baru seperti Al-Quran dan sains dan pembinaan kemahiran baru untuk penyebaran dakwah diabaikan. Saya khuatir jika keadaan ini berterusan, umat Islam akan menjadi tidak relevan. Justeru umat Islam perlu berubah dan berani membuka minda serta keluar dari kepompong lama mereka untuk menjadi gilang gemilang pada hari ini.

BH: Apakah karya terbaru yang sedang ditangani?
DD: Saya sedang membaca dan menganalisis maksud seluruh Al-Quran untuk melahirkan buku baru, ‘Tip Kecemerlangan Dari al-Quran’. Semoga Allah membantu saya.

BH: Bagaimanakah cara untuk menyedarkan umat Islam bahawa mereka gagal melihat Islam sebagai berlian yang ditinggalkan?
DD: Islam boleh diumpamakan seperti batu berlian dan ramai yang membuang berlian ini dan memilih kaca. Mengapa Islam yang hebat dipinggirkan? Ia mungkin berpunca daripada cara mengajar dan sumber ajaran. Cara mengajar yang menekankan fikah ranting, hafalan tanpa kefahaman, pendekatan tidak saintifik dan penekanan kepada perkara remeh boleh menyebabkan sebahagian manusia menjauhi Islam. Di sudut sumber, ramai daripada kalangan orang Islam tidak memahami al-Quran.

BH: Bagaimanakah umat Islam dapat digerakkan agar menjadi manusia yang suka membaca dan menghargai karya berilmu?
DD: Umat Islam, terutamanya di Malaysia, rata-ratanya boleh membaca dan sering kali membaca. Yang menjadi isunya ialah bahan yang dibaca. Tabiat suka membaca bahan berkualiti perlu ditanam sejak kecil. Setiap rumah perlu ada kutubkhanah kecil. Ibu bapa boleh memberi galakan dengan memberi hadiah jika buku berkualiti dibaca oleh anak-anak di samping mereka menjadi contoh dalam aspek ini. Sudut perbincangan buku di sekolah boleh diwujudkan. Penulis perlu kreatif dengan penulisan mereka untuk menarik minat pembaca. Media massa elektronik seperti TV, perlu kerapkan pengiklanan buku yang baik. Ilmuwan perlu ditonjolkan daripada artis agar ilmu dapat dimartabatkan.








Wednesday, February 18, 2009

KEIKHLASAN ASAS KEHIDUPAN

DALAM kitab suci al-Quran Allah telah menerangkan bahawa tujuan utama kehidupan manusia di dunia ini adalah untuk mengabdian kepada Allah Azzawajalla. Namun begitu pengabdian manusia kepada Allah perlulah ikhlas.

Firman Allah dalam surah al-Baiyinah ayat 89 bermaksud : “Padahal mereka tidak disuruh kecuali untuk menyembah Allah dengan menunaikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama dengan ikhlas’.
Ayat tersebut membuktikan bahawa penilaian sebenar terhadap ketaatan sesaorang kepada Allah bukan sekadar pengakuan dan amalan lahiriah semata-mata tetapi perlu punya niat dan keikhlasan dalam jiwa kita.

Baginda Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada Mu’az Ibn Jabal r.a. yang bermaksud: “Ikhlaslah dalam beragama, nanti amalan sedikit pun sudah mencukupi”.

Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik, Rasulullah s.a.w. sebagai berkata: “ Pada hari kiamat para malaikat akan membawa catatan-catatan yang sudah bercop, Allah Azzawajallla lalu berkata:”Buang yang ini dan ambil yang ini.Para malaikat pun berkata: Demi keagungan Engkau, kami tidak mencatat kembali apa yang sebenarnya berlaku. Allah lalu menjawab: Yang ini sebenarnya untuk selain diriku. Pada hari ini Aku, tidak menerima kecuali yang benar-benar diperuntukan kepada-Ku”.

Dalam hadis tersebut Rasulullah menjelaskan bahawa pada hari akhirat nanti banyak amal kebajikan yang tidak diambil kira oleh Allah. Amal kebajikan manusia ini tidak diambil kira kerana tidak ada keikhlasan ketika mereka melakukannya. Allah menyifatkan amal kebajikan itu dilakukan untuk selain diri-Nya.

Pengertian yang sama kita dapati dari satu hadis lain, dalam hadis tersebut Nabi Muhamad s.a.w. menjelaskan bahawa Allah sentiasa melihat hati nurani manusia bukan semata-mata amal kebajikan yang dibuat.

Menyedari inilah maka ramai para ulama selalu memperingatkan diri mereka dan orang ramai agar berhati-hati. Kata Ma’ruf al-Karkhi sambil menepuk-nepuk dirinya sendiri, “Wahai diriku, ikhlaslah kamu, nanti terselamat.” Kata Abu Sulaiman, “Berbahagialah orang yang disahkan mempunyai selangkah yang benar-benar kerana Allah Taala.”

Apa itu ikhlas yang amat diperlukan oleh manusia dalam melakukan amal kebajikan agar amal itu diterima Allah? Ikhlas bererti bersih dari unsur-unsur lain. Dibidang tauhid ia disebut senagai lawan’syirik’. Sebagaimana juga syirik ada yang bersifat jelas dan ada yang kabur maka demikian jugalah dengan ikhlas. Para ulama menerangkan, antara perkara-perkara yang mengurangi keikhlasan ialah sifat ‘ria’ iaitu bermuka-muka.

Kesukaran insane biasa untuk mencapai tahap keikhlasan yang paling tinggi memang diakui oleh para ulama. Ada ulama yang menyebut, sesiapa yang pernah pada satu saat dalam hidupnya benar-benar ikhlas kepada Allah, dia akan mendapat kejayaan.

Apabila Sahl ditanya, apakah sautu perkara yang paling sukar untuk dilakukan? Jawabnya, ‘ikhlas’.

Perkara yang paling rapat dengan ikhlas ialah niat. Jesteru itu Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sertiap peruatan itu akan dinilai berasaskan niat. Malah Rasulullah juga pernah bersabda bahawa niat yang baik sekali pun sudah mendapat ganjaran walaupun masih belum melakukannya.

Lantaran itu sebagai seorang muslim sejati, kita perlumenanam sifat ikhlas dalam apa jua yang kita lakukan diringi dengan niat yang bersih, suci lagi murni semata-mata kerana Allah. Kita boleh menipu orang dengan mengatakan kita ikhlas tetapi Allah Azawajalla lebih mengetahui.