Selasa, 23 April 2019

SIMPAN JANGGUT MANCO & BERPAHALA


JANGGUT  merupakan aset yang cukup penting untuk seorang lelaki.  Janggut juga yang akan membezakan seorang lelaki dengan seorang wanita. Janggut akan menyerlahkan kelakian sesaorang dan akan nampak  lelaki itu lebih bergaya, handsome, berkarisma dan manco.

                Namun amat malang rata-rata lelaki tidak begitu suka menyimpan janggut. Mereka lebih suka menyimpan misai. Mengapa begitu?  Adakah kita meniru penjajah yang pernah menjajah kita? Lazimnya kebiasaan di dunia ini orang yang kalah sentiasa akan meniru orang yang menang.

                Adakah kita lupa menyimpan janggut itu sunnah Nabi Muhammad SAW tinggalkan untuk kita mengamalkannya. Mengamalkan sunnah kita akan dapat pahala. Amat rugi kita mengaku umatnya sekiranya sunnah semudah ini pun kita tidak mampu melaksanakannya.

                Malah tujuan baginda Rasulullah meminta umatnya dikalangan lelaki menyimpan janggut adalah untuk membezakan kita orang muslim dengan orang kafir. Sabda baginda Rasulullah yang bermaksud : “ Janganlah kamu meniru (menyerupai) orang-orang majusi (penyembah berhala) kerana mereka itu memotong (mencukur) janggut mereka dan memelihara misai mereka.”  ( hadis Riwayat Muslim)

                Dalam isu menjaga dan memelihara janggut ini juga jarang di perkatakan oleh ulama  kita kerana berdasarkan hadis di atas menyimpan janggut itu amat penting untuk membezakan kaum muslimin dengan golongan kafir. Namun ramai juga yang menyedari dan tetap menyimpan dan memelihara janggut.

                Golongan sahabat baginda Rasulullah, para tabi’in dan salahfusoleh tidak pernah meninggalkan amalan ini. Jadi tidak sepatutnya kita tidak mengabaikan amalan dan suruhan ini kerana tujuannya adalah untuk membezakan seorang muslim dengan orang kafir.

                Terdapat beberapa pandangan mengenai hukum menyimpan janggut.  Bagi mazhab Hanafi sebahagiannya mengatakan sunat menyimpan janggut  dan ada sebahagiannya mengatakan wajib untuk menyimpan janggut.

                Sementara bagi mazhab Maliki pula ada sebahagian ulamak mengatakan makruh mencukur janggut dan ada sebahagiannya mengatakan haram.  Bagi mazham Hambali pula ada sebahagian ulama mengatakan wajib memelihara janggut  dan sebahagian yang lain mengatakan sunat. Manakala bagi Mazhab Syafi’e pula menghukum makruh mencukurnya.

                Dr. Yusuf Qaradawi melalui fatwanya,  mualQardhawi (Fatawa Mu'asirat; `Awaamil as Sa'at wal Murunah fi asSyari'at alIslamiyah; Bagaimana kita berinteraksi dengan asSunnah; Fiqh al Awlawiyat. Berpendapat kesunnahan menyimpan janggut ini termasuk sunnah peringkat kamaliat (kesempurnaan ummat dan rupa diri umat Islam yang unik dan unggul di mata dunia).

Sunnah ini ditekankan oleh Nabi SAW ketika mana umat Islam telah melaksanakan kesemua sunnah yang dharuriat (asas) dan hajiat (keperluan). Masalahnya sekarang ialah umat Islam kini hanya nampak sunnah yang kamaliat dan meninggalkan sunnah-sunnah yang asas dan bersifat wajib dilaksanakan terlebih dahulu untuk membina sebuah umat yang kuat dan berwibawa.

Sunnah sejenis dengan menyimpan dan menjaga janggut-misai termasuklah dalam urusan memilih jenis pakaian, warna pakaian, tutup kepala, sunnah alfitrah (sikat rambut, potong kuku, cara makan-minum, adab ke tandas, dan sebagainya.)

Kesimpulan yang boleh dibuat, pendapat yang menjadi pilihan merupakan tarjih Dr. Yusuf Qaradawi, iaitu hukumnya sunat mu'akkad dan mencukurnya tanpa keperluan ialah makruh. Illat janggut zaman sekarang adalah kerana ia menunjukkan kejantanan iaitu fitrah kelakian saja. Ini saja yang kuat untuk menetapkan hukum menyimpan janggut ini sunat dan mencukurnya makruh.
Lelaki, fitrahnya ialah jantan tulen, maka berbulu menunjukkan sifat kelakian, di mana ia membezakan lelaki dan perempuan yang licin tanpa bulu muka. Janggut ditempatkan dalam bab Sunan al-Fitrah dalam kitab-kitab Fiqh.

Pilihan terbaik ialah memelihara janggut jika tiada apa-apa halangan. Bayangkan, dengan hanya menyimpan janggut menyerlahkan sifat lelaki kita telah melaksanakan sunnah yang memberikan kita pahala.

  Selain menyimpan janggut, perlu juga diingatkan agar jangan hanya fokus kepada menyimpan janggut sehingga lupa dan lalai kepada ibadah-ibadah lain yang lebih penting, kerana keimanan seseorang bukanlah diukur kepada panjangnya janggut, tetapi ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

-   NOTA :   Artikel ini telah disiarkan oleh Majalah Dakwah Isu 46, Majalah terbitan  Yayasan Dakwah Isliah Malaysia.








Tiada ulasan: