Khamis, 19 Februari 2009

KEIKHLASAN ASAS KEHIDUPAN

DALAM kitab suci al-Quran Allah telah menerangkan bahawa tujuan utama kehidupan manusia di dunia ini adalah untuk mengabdian kepada Allah Azzawajalla. Namun begitu pengabdian manusia kepada Allah perlulah ikhlas.

Firman Allah dalam surah al-Baiyinah ayat 89 bermaksud : “Padahal mereka tidak disuruh kecuali untuk menyembah Allah dengan menunaikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama dengan ikhlas’.
Ayat tersebut membuktikan bahawa penilaian sebenar terhadap ketaatan sesaorang kepada Allah bukan sekadar pengakuan dan amalan lahiriah semata-mata tetapi perlu punya niat dan keikhlasan dalam jiwa kita.

Baginda Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada Mu’az Ibn Jabal r.a. yang bermaksud: “Ikhlaslah dalam beragama, nanti amalan sedikit pun sudah mencukupi”.

Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik, Rasulullah s.a.w. sebagai berkata: “ Pada hari kiamat para malaikat akan membawa catatan-catatan yang sudah bercop, Allah Azzawajallla lalu berkata:”Buang yang ini dan ambil yang ini.Para malaikat pun berkata: Demi keagungan Engkau, kami tidak mencatat kembali apa yang sebenarnya berlaku. Allah lalu menjawab: Yang ini sebenarnya untuk selain diriku. Pada hari ini Aku, tidak menerima kecuali yang benar-benar diperuntukan kepada-Ku”.

Dalam hadis tersebut Rasulullah menjelaskan bahawa pada hari akhirat nanti banyak amal kebajikan yang tidak diambil kira oleh Allah. Amal kebajikan manusia ini tidak diambil kira kerana tidak ada keikhlasan ketika mereka melakukannya. Allah menyifatkan amal kebajikan itu dilakukan untuk selain diri-Nya.

Pengertian yang sama kita dapati dari satu hadis lain, dalam hadis tersebut Nabi Muhamad s.a.w. menjelaskan bahawa Allah sentiasa melihat hati nurani manusia bukan semata-mata amal kebajikan yang dibuat.

Menyedari inilah maka ramai para ulama selalu memperingatkan diri mereka dan orang ramai agar berhati-hati. Kata Ma’ruf al-Karkhi sambil menepuk-nepuk dirinya sendiri, “Wahai diriku, ikhlaslah kamu, nanti terselamat.” Kata Abu Sulaiman, “Berbahagialah orang yang disahkan mempunyai selangkah yang benar-benar kerana Allah Taala.”

Apa itu ikhlas yang amat diperlukan oleh manusia dalam melakukan amal kebajikan agar amal itu diterima Allah? Ikhlas bererti bersih dari unsur-unsur lain. Dibidang tauhid ia disebut senagai lawan’syirik’. Sebagaimana juga syirik ada yang bersifat jelas dan ada yang kabur maka demikian jugalah dengan ikhlas. Para ulama menerangkan, antara perkara-perkara yang mengurangi keikhlasan ialah sifat ‘ria’ iaitu bermuka-muka.

Kesukaran insane biasa untuk mencapai tahap keikhlasan yang paling tinggi memang diakui oleh para ulama. Ada ulama yang menyebut, sesiapa yang pernah pada satu saat dalam hidupnya benar-benar ikhlas kepada Allah, dia akan mendapat kejayaan.

Apabila Sahl ditanya, apakah sautu perkara yang paling sukar untuk dilakukan? Jawabnya, ‘ikhlas’.

Perkara yang paling rapat dengan ikhlas ialah niat. Jesteru itu Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sertiap peruatan itu akan dinilai berasaskan niat. Malah Rasulullah juga pernah bersabda bahawa niat yang baik sekali pun sudah mendapat ganjaran walaupun masih belum melakukannya.

Lantaran itu sebagai seorang muslim sejati, kita perlumenanam sifat ikhlas dalam apa jua yang kita lakukan diringi dengan niat yang bersih, suci lagi murni semata-mata kerana Allah. Kita boleh menipu orang dengan mengatakan kita ikhlas tetapi Allah Azawajalla lebih mengetahui.

Tiada ulasan: